Ad Blocker Detected
Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.
Kemahiran Bahasa Arab adalah suatu perkara yang penting untuk diketahui sebelum mempelajari Bahasa Al-Quran ini. Setiap insan di dunia ini pasti akan menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa. Tidak kiralah bahasa apa pun yang dipelajarinya, seseorang itu pasti menggunakan kemahiran-kemahiran ini untuk menjadi seorang yang fasih dalam sesuatu bahasa hatta bahasa ibundanya sendiri.
Jadi, mana mungkin kita mampu menguasai sesuatu bahasa asing dengan baik sekiranya kita tidak arif tentang cara dan kaedah yang betul, bukan? Maka, hari ini kami inginkan kongsikan bersama anda kemahiran-kemahiran yang digunakan ketika mempelajari Bahasa Arab.
Pembahagian Kemahiran Bahasa Arab
Kemahiran bahasa secara amnya ada empat,
- mendengar
- bertutur
- membaca
- menulis
Kemahiran Mendengar
Orang yang mempelajari bahasa asing boleh diibaratkan seperti anak-anak kecil. Jika kita perhatikan, anak-anak kecil mula mempelajari bahasa dengan kaedah mendengar. Seorang ibu akan mula bercakap dengan anaknya seawal hari pertama kelahiran lagi kerana daripada situ akan membantu perkembangan bayi.
Begitu juga kita perlu lakukan dalam mempelajari Bahasa Arab, guru perlu membiasakan pelajar-pelajar dengan kemahiran mendengar atau maharat al-istima’. Kemahiran mendengar bermaksud keupayaan seseorang untuk mendengar dengan teliti dan memahami apa yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan. Sebagai contoh, seorang guru ingin memperkenalkan peralatan yang ada dalam bilik darjah. Guru tersebut perlu menyebut perkataan tersebut sekurang-kurangnya 3 kali dengan jelas berserta makhraj dan sifat huruf yang tepat sambil menunjukkan peralatan itu di hadapan kelas.
Daripada proses tersebut, para pelajar akan tahu cara sebutan yang betul dan memahami maksud perkataan itu secara langsung kerana objek jelas di depan mata. Hal ini terbukti akan memudahkan para pelajar untuk mengingati perkataan itu walaupun belum lagi mengetahui bagaimana ejaan perkataan tersebut.
Kemahiran mendengar akan menjadi lebih menarik jika kandungan pembelajaran digubah menjadi lagu. Cuba lihat dan dengar lagu yang telah diubah liriknya ini.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur atau maharat al-kalam juga merupakan kemahiran yang penting dalam mempelajari bahasa. Ia merujuk kepada keupayaan seseorang untuk menuturkan perkataan-perkataan yang dilahirkan oleh alat sebutan (artikulator) manusia.
Pernahkah anda melihat kanak-kanak yang mengajuk gaya, nada dan intonasi orang sekeliling yang bercakap? Ini adalah kerana mereka lebih peka dan mudah menghafal perkataan-perkataan yang berulang kali didengar. Kaedah ini boleh diaplikasikan kepada pelajar-pelajar yang ingin bertutur dalam Bahasa Arab dengan lancar dan fasih.
Sebelum bertutur, para pelajar telah mendengar cara menyebut perkataan yang betul, maka, selepas itu para pelajar perlu menyebut perkataan-perkataan secara berkumpulan ataupun individu. Guru hanya perlu menunjuk objek dan kemudian pelajar menamakan objek tersebut.
Melalui kemahiran ini, guru-guru dapat menilai tahap kemampuan para pelajar untuk menyebut perkataan-perkataan dengan baik dari segi sebutan huruf-huruf yang agak rumit seperti ع ,غ ,ط ,ق dan menegur kesalahan secara langsung.
Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca adalah kemahiran yang agak kompleks, di mana seseorang itu perlu membaca dengan pantas, memahami fakta yang dibaca dan membuat interpretasi terhadap fakta yang dibaca.
Kebanyakan golongan pelajar yang baru mendalami Bahasa Arab, mereka bijak membaca teks atau ayat yang telah disertakan baris tanpa memahami maksud disebalik ayat. Akan tetapi jika diberi satu perenggan artikel dalam Bahasa Arab tanpa ada baris pada huruf, pasti ada yang tidak mampu membaca dengan betul kerana mereka belum benar-benar mengingati dan memahami kaedah dalam menentukan baris setiap huruf.
Oleh yang demikian, para penuntut yang ingin bertutur dalam Bahasa Arab dengan fasih, mereka perlulah banyak mendengar audio atau menonton cerita pendek yang menggunakan Bahasa Arab baku. Contohnya seperti dalam video di bawah,
Dengan menonton video-video seperti ini, pasti dapat meningkatkan lagi jumlah perkataan dalam ingatan dan seterusnya dapat membantu untuk bertutur dengan lancar.
Kemahiran Menulis
Kemahiran yang terakhir dalam belajar Bahasa Arab adalah kemahiran menulis. Kemahiran menulis merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menulis perkataan atau ayat dan mengeluarkan idea dalam pelbagai bentuk penulisan yang berkaitan dengan pengalaman peribadi atau ilmu pengetahuan yang ada dalam diri. Orang yang mahir dalam penulisan pasti akan menggunakan ayat yang gramatis, bombastik dan mampu menarik minat orang lain untuk membaca.
Begitu juga bagi sesiapa yang ingin menulis dalam Bahasa Arab, mereka perlu tahu ilmu nahu dan sorof terlebih dahulu agar ayat yang ditulis itu mudah difahami oleh orang yang akan membaca penulisan itu kelak.
Kemahiran menulis juga dapat diasah dalam diri pelajar dengan menyalin karangan-karangan pendek dan minta untuk mereka terangkan kefahaman mereka tentang karangan yang telah disalin. Hal ini adalah untuk mendedahkan mereka dengan bentuk penulisan yang betul.
Kesimpulannya, kita mungkin tak mampu untuk kuasai Bahasa Arab dalam masa yang singkat tapi tak mustahil untuk kita menjadi seorang yang fasih bertutur menggunakan bahasa tersebut walaupun tidak dilahirkan di negara yang menggunakan bahasa itu.
Akhir sekali, semoga guru-guru yang mengajar Bahasa Arab tidak mudah mengalah dan sentiasa bersemangat mengajar anak didik. Jadi, bagi guru-guru yang ingin sediakan permainan online sambil belajar untuk pelajar yang sedang cuti sekolah,boleh rujuk di sini untuk mengetahui beberapa aplikasi permainan yang menarik. Selamat bercuti !