Ad Blocker Detected
Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.
5 Adab Menuntut Ilmu Secara Atas Talian. Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita baru-baru ini, sesi persekolahan secara bersemuka terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19. Para pelajar dan guru terpaksa melakukan kelas secara atas talian di tempat masing-masing untuk memastikan sistem pembelajaran berjalan seperti biasa.
Rentetan itu, terdapat segelintir pelajar yang mengabaikan adab-adab menuntut ilmu disebabkan tiadanya kelas secara bersemuka berlaku antara mereka dan guru. Adab menuntut ilmu adalah perkara yang sangat dituntut kepada semua pelajar. Tanpa adab yang baik, akan hilanglah keberkatan ilmu buat seseorang pelajar.
Apakah Maksud Adab Menuntut Ilmu?
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, adab bermaksud tingkah laku serta tutur kata yang sopan dan halus. Manakala Ilmu pula membawa maksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir dan batin. Adab menuntut ilmu sangat penting untuk diamalkan oleh para pelajar.
Kelebihan beradab ketika menuntut ilmu:
- Berjaya di dunia dan akhirat.
- Mendekatkan diri kepada Allah.
- Dihormati dan disanjungi oleh masyarakat.
5 Adab Menuntut Ilmu Secara Atas Talian
Di sini kami kongsikan 5 adab penting yang perlu diamalkan oleh pelajar yang menuntut ilmu secara atas talian:
Terdapat pelbagai adab-adab menuntut ilmu yang boleh diamalkan oleh para pelajar. Meskipun pelajar-pelajar hanya perlu menghadiri kelas secara atas talian, namun mereka masih perlu menitik beratkan adab-adab ini untuk mencapai keberkatan dalam menuntut ilmu.
Hari ini kita akan berkongsi antara 5 adab menuntut ilmu yang perlu pelajar fahami dan amalkan sewaktu menghadapi kelas online.
-
Membuat Persediaan Awal Sebelum Kelas Bermula.
Para pelajar boleh menyediakan tempat khas dan boleh menghias ruang belajar mereka sendiri. Penyediaan ruang khas untuk pembelajaran dapat membantu pelajar untuk lebih fokus dan bersungguh dalam menghadapi kelas online. Di samping itu, pembacaan awal untuk tajuk yang akan dipelajari adalah sangat penting serta menyediakan buku-buku dan alat tulis yang akan digunakan sewaktu kelas online berlangsung.
2. Menghadiri Kelas Yang Dijalankan Secara Online.
Para pelajar perlu menghadiri kelas yang diadakan oleh guru setiap hari secara atas talian. Hal ini demikian untuk mengelakkan pelajar daripada ketinggalan dalam pelajaran jika tidak menghadiri kelas.
Maklumkan kepada guru jika anda tidak dapat menyertai kelas yang disediakan.
3. Fokus Ketika Sesi Pembelajaran Berlangsung.
Fokus amat penting dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dalam hal ini, para pelajar perlu memberikan tumpuan sepenuhnya ketika sesi pembelajaran berlangsung untuk memudahkan kita mempelajari sesuatu tajuk. Fokus sewaktu belajar dapat menjadikan ilmu seseorang itu berkat. Ambil nota jika perlu mengenai sesuatu topik yang kurang difahami.
4. Menghormati dan Memberi Respon Kepada Guru.
Komunikasi dua hala amat penting antara pelajar dan guru dalam memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
Menghormati guru merupakan perkara yang dituntut dalam agama kita. Menjadi suatu kewajipan buat seorang pelajar untuk menghormati dan memuliakan gurunya yang telah banyak memberi didikan dan ilmu kepada mereka.
5. Berterima Kasih Kepada Guru.
Setelah selesai kelas, ucapkan terima kasih kepada guru kerana sudi mengajar kita walaupun dari jarak yang jauh. Guru telah berpenat lelah menyediakan yang terbaik untuk pelajarnya. Penghargaan kepada seorang guru amat penting dalam memastikan kita mendapat ilmu yang berkat serta doa daripada mereka. Mintalah daripada guru kita keberkatan ilmu setelah berakhirnya kelas.
Semoga dengan perkongsian adab-adab menuntut ilmu ni, para pelajar dapat melalui fasa kelas online dengan lancar dan mudah. Jangan lupa untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajaran meskipun kita di dalam musim pandemik COVID-19 sekarang. Selamat berusaha semua!
“Barang siapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga” – HR Muslim