Ad Blocker Detected
Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.
Adakah anda tahu apa itu genius Pintar, sebelum kita meneroka lebih jauh lagi, suka untuk saya kongsikan definisi terhadap pintar dan genius. Pintar atau genius dapat didefinisikan sebagai kemampuan intelektual semulajadi yang lain dari yang lain, kreatif, atau pencapaian di luar kotak dalam sesuatu bidang. Pelajar pintar seperti ini perlu dikenal pasti dan digilap potensi yang ada sehingga berjaya.
Hasilnya, mereka mampu untuk menyumbang sesuatu yang besar bukan sahaja kepada negara malah dunia. Antara nama yang terkenal juga dikenali sebagai genius adalah seperti Albert Einstein dalam bidang Fizik. Namun begitu, pengabaian terhadap kelompok pintar ini boleh menyebabkan keburukan seperti tekanan emosi dan berlakunya perkara yang tidak sepatutnya.
Oleh itu, tercetusnya inisiatif yang baik bagi mengetengahkan potensi pelajar pintar intelek semulajaadi iaitu penubuhan Pusat PERMATApintar Negara atau kini dikenali sebagai Pusat Genius Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia. Program ini khusus kepada pelajar pintar dan berbakat yang berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia. Pusat ini telah dibangunkan pada tahun 2009 oleh Professor Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang terinspirasi dengan sekolah pintar di luar negara. Tujuan utama penubuhan pusat ini adalah untuk mengelakkan masalah ‘brain drain’, mengenalpasti pelajar pintar dan berbakat dan mengembangkan setiap potensi yang ada. Pengarah Pusat Genius Pintar kini adalah Prof. Madya Dr Rolinda binti Yusof.
Terdapat 3 program yang ditawarkan di bawah pusat ini. Antaranya adalah Program Perkhemahan Cuti Sekolah (PPCS) (9 hingga 15 tahun), Kolej Genius Pintar Negara (12-17 tahun) dan Program ASASIpintar (Pra-Universiti). Kini, Pusat Kecermelangan Kebangsaan PERMATApintar telah dipindahkan ke Sektor Pengurusan PERMATA, Bahagian Pengurusan Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia http://moe.gov.my/korporat/bahagian-dan-unit/bahagian-genius. Pusat ini mempunyai kurikulum tersendiri yang disusun sesuai dengan keperluan pelajar. Terdapat 3 saringan untuk mendaftar di Pusat Genius Pintar Negara.
- Ujian IQ UKM 1(secara atas talian di sekolah/rumah masing-masing)http://pelajar.permatapintar.edu.my
- Ujian saringan UKM 2 (secara atas talian berpusat mengikut daerah) yang meliputi ujian IQ, Matematik, Bahasa Inggeris selama 3 jam.
- Kem Ujian UKM 3 (diadakan selama 3 hari 2 malam di UKM) yang melibatkan pembentangan kajian mini (Sains bebas), pengucapan awam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Ujian IQ, Matematik dan Sains.
5 KELEBIHAN PUSAT GENIUS PINTAR NEGARA
Antara 5 kelebihan Pusat Genius Pintar adalah:
1. Pembelajaran Tidak Terhad Kepada Silibus SPM dan Peperiksaan Sahaja
Pelajar digalakkan untuk mencari maklumat sendiri tentang sesuatu topik luar dari buku teks sedia ada. Sebagai contoh, pelajar digalakkan untuk merujuk Campbell Biology text book (Author: Reece), Chemistry text book (Author: Raymond Chang) dan Physic text book (Author: Cutnell, John D.). Pautan Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM iaitu Gemilang UKM http://ukm.my/ptsl/?s=gemilang(e-journal) juga boleh diakses selain dari terus mencari maklumat atau meminjam buku di perpustakaan tersebut secara percuma. Silibus Advanced Placement (AP) ini termasuklah pendedahan terhadap penguasaan ujian Bahasa Inggeris seperti ujian MUET, TOEFL dan IELTS.
Walau bagaimana pun, terdapat juga kelas tambahan disediakan untuk skor SPM fokus kepada cara menjawab dan format soalan. Pendekatan yang dilakukan di Kolej Genius Pintar juga meliputi aspek jasmani, emosi, sosial, rohani dan intelek. Kurikulum yang padat meliputi kurikulum kebangsaan, O dan A level, Advanced Placement dan Kursus Universiti.
2. Suasana Belajar yang Membantu Pelajar Berfikiran Kritikal dan Analitikal
Setiap pelajar diwajibkan untuk melakukan penyelidikan dan membuat pembentangan di konferen. Setakat ini, terdapat 9 konferen telah berjaya dilaksanakan. Konferen yang terbaru adalah 9th International Future Scientist Conference (virtual) pada 24 hingga 25 November 2020. Setiap pelajar akan diberikan Mentor dalam kalangan pensyarah atau individu pakar untuk projek penyelidikan ini. Justeru, penekanan diberikan terhadap aktiviti akademik dan bukan akademik serta pendedahan tentang asas penyelidikan telah diberikan termasuklah subjek tambahan seperti Statistik, Kalkulus, Bahasa Jepun, Bahasa Perancis dan Logic Reasoning. Guru yang dipanggil instruktur juga bersikap terbuka dan mengajar mengikut tahap penguasaan pelajar. Sekiranya ada pelajar pada tahap tinggi, pelajar tersebut akan diraikan dengan soalan/latihan yang lebih sukar. Namun begitu, bagi norma baharu ekoran PKP ini, penyelidikan dan pembentangan dilakukan secara virtual.

9TH FUTURE SCIENTIST CONFERENCE 2020
3. Pelbagai Peluang di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa Diberikan Kepada Pelajar
Sebagai contoh, antara pencapaian terkini oleh pelajar Kolej Genius Pintar Negara adalah seperti:
-
- Pertandingan KLSEF (KL Engineering Science Fair) melalui platform youtube. https://youtu.be/JBSEbNZnnU8
- Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC2019) dan International Virtual Robotic Games (WRO2020)
- Virtual National Science Challenge (NSC2020)
- Pertandingan Mathematics Olympiad
- Singapore International Math Olympiad Challenge (SIMO2020)
- Singapore and Asian Schools Math Olympiad
- The Queen’s Commonwealth 2020
- Korean Speech Contest 2020 https://www.hmetro.com.my/utama/2020/10/633327/200-kalah-cakap-korea-dengan-izzat
4. Pemakaian Bebas
Institusi ini berbeza dengan sekolah menengah yang lain yang diwajibkan memakai pakaian sekolah. Pelajar di sini lebih bebas dalam berpakaian dengan mengikut Etika pemakaian yang ditetapkan. Pelajar hendaklah kemas dan sopan iaitu pakaian biasa bukan uniform kecuali hari pada hari Isnin hendaklah berpakaian uniform. Pelajar juga dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dan laptop. Mereka juga mempunyai kelas fokus kepada Etika Pemakaian dan Adab.
5. Prasarana Canggih dan Lengkap & Pilihan Aktiviti Luar yang Menarik
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah gimnasium, padang, kolam renang, makmal komputer, perpustakaan, bilik muzik, makmal sains, kafetaria, bilik sakit, stadium dan auditorium. Keadaan kelas yang selesa (berpendingin hawa dan wifi) dan cantik. Antara pilihan aktiviti yang ada seperti kelas memanah, golf, berkuda, muzik (moden pancaragam dan tradisional angklong atau gamelan) dan persatuan seperti Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dan Kor Suksis.
Pusat Genius Pintar Negara UKM ini juga ke arah pengantarabangsaan http://malaysiagazette.com/2020/11/03/pusat-geniuspintar-negara-ukm-ke-arah-pengantarabangsaan/Anda boleh melayari untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kolej Genius Pintar Negara: https://www.ukm.my/geniuspintar/ Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan lawatan ke Kolej Genius Pintar, boleh menyediakan surat permohonan rasmi seperti yang dinyatakan di sini http://ukm.my/geniuspintar/request-to-visit-permatapintar/
Sekiranya ada ibubapa/guru yang dapat mengenalpasti anak-anak yang mempunyai kelebihan luar biasa atau potensi genius yang sepatutnya diketengahkan, diasah dan dikembangkan, galakkan atau dorongan untuk menjalani Ujian IQ dan saringan seterusnya amat wajar dilakukan supaya dapat memberikan impak yang positif pada masa akan datang. Banyak kepakaran dari alumni telah disumbangkan kepada negara kita. Lebih 1400 orang alumni telah dihasilkan sejak tahun 2011 dan kebanyakannya menyambung pelajaran di seantero dunia. Malahan, sebanyak 79% telah berada dalam pasaran kerja. Selamat Berjaya!
Good!
Terima kasih