6 Perbezaan SMKA dan SMK

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Hargai Kami, Share Pada Rakan Anda:
Pasti ramai yang tertanya-tanya apa yang membezakan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang terdapat di Malaysia. Ibubapa pasti mengharapkan yang terbaik bagi pendidikan anak-anak mereka. Perkongsian ini semestinya akan membantu anda membuat perbandingan yang terbaik demi masa hadapan dan corak pendidikan mereka. Secara asasnya, aliran agama di Sekolah Menengah di bawah KPM mempunyai 3 pilihan iaitu SMKA, SABK (SAM/SMA) & KAA. Di sini saya akan memfokuskan kepada perbandingan antara SMKA dan SMK. Terdapat 59 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ditubuhkan di seluruh Malaysia. Hal ini memang menjadi hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia dan hasrat masyarakat Islam yang sedar akan faedahnya. Penubuhan SMKA seiring dengan usaha pemodenan system pendidikan Negara. Proses penambaikan system pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama sesuai dengan perkembangan semasa.
SMKA

PERBEZAAN SMKA DAN SMK

Terdapat beberapa perbezaan SMKA dan SMK yang signifikan untuk kita bincangkan. Mungkin maklumat yang kami sediakan mampu memberi gambaran lebih jelas berkaitan perbezaan kedua sekolah ini.

SMKA ditubuhkan dengan objektif:

  • Mencapai kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum.
  • Melahirkan pelajar yang mengamalkan akhlak mulia.
  • Membentuk generasi pelajar sebagai pemimpin yang boleh diteladani.
  • Melahirkan pelajar yang mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran budaya yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam.
  • Menyediakan pelajar yang dapat memberi sumbangan yang berkesan bagi memenuhi keperluan negara dan ummah.

1. Subjek Tambahan Bahasa Arab 

Kelebihan bagi pelajar yang memasuki alliran agama di SMKA adalah mereka berpeluang untuk mengambil subjek tambahan Bahasa Arab di sekolah. Pelajar SMKA diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Arab dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Apabila pelajar dapat mempelajari asas bahasa arab dengan baik di peringkat sekolah menengah, pelajar mempunyai peluang yang cerah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama yang mempunyai syarat kelayakan mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Arab. Tidak rugi untuk mempelajari bahasa Arab kerana pelajar juga akan lebih senang untuk memahami subjek agama yang berasaskan dalil al Quran. Selanjutnya berpotensi untuk menjadi tenaga pakar yang faham Islam dan melahirkan pendakwah yang berhikmah dan bertanggungjawab.

Menarik lain :  Prasekolah: 5 Pentingnya Pendidikan Awal Kanak-Kanak

 

2. Menggantikan Subjek Pendidikan Islam kepada (Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah)

Subjek agama yang ditawarkan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan adalah Pendidikan Islam manakala bagi SMKA, subjek Pendidikan Islam digantikan kepada Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah (PQS) serta Pendidikan Syariah Islamiah (PSI) di Tingkatan 4 dan 5. Selaras dengan misi SMKA bagi menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam membentuk realiti ilmu dan penghayatan Al-Quran dan Al-Sunnah. Dengan mempelajari subjek PQS dan PSI, pelajar akan dapat mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam seterusnya menjana individu cemerlang dan kuat pegangan agama berasaskan nilai-nilai Islam.

3. Iklim Dini & Biah Solehah

Sedar ataupun tidak, sedikit sebanyak iklim di sesebuah institusi sekolah amat mempengaruhi pelajar. Iklim sekolah merupakan gambaran keseluruhan dalam membentuk watak sesebuah sekolah dan bergantung kepada pelajar, guru, ibu bapa, dan persekitarannya. Iklim sekolah juga mencerminkan norma, matlamat, nilai, dan
hubungan interpersonal seseorang individu. Sekolah yang mempunyai iklim yang baik akan melahirkan pelajar yang bersemangat, kakitangan pengajar yang berdedikasi, rasa kepercayaan dan sokongan terhadap para pentadbir. Keadaan ini secara tidak langsung akan mewujudkan suasana yang positif.
Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), persekitaran yang diterapkan di sekolah berteraskan landasan agama yang berbentuk Islamik. Antara amalan yang diterapkan bagi SMKA adalah kewajipan solat berjemaah, amalan mathurat dan doa haikal pagi dan petang, bacaan almulk, as sajadah, al waqiah bergilir setiap malam, bacaan al Kahfi pada hari Jumaat, sistem Usrah bagi setiap pelajar, qiamullail, tazkirah maghrib, kuliah agama dan sebagainya bagi pemantapan rohani. Proses mentarbiahkan pelajar untuk membentuk akhlak yang baik memerlukan usaha yang berterusan serta membuat latihan amali supaya dapat membiasakan diri dengan sifat-sifat yang terpuji dan menjauhi segala sifat yang terkeji. Suasana persekitaran fizikal di sekelilingnya yang berbentuk Islamik yang akhirnya akan menjadi satu budaya yang sebati dalam jiwa dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian pelajar.

4. Ilmu Agama dan Akademik yang Seimbang

Ada sesetengah sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang membuka aliran KAA (kelas aliran agama), dimana pelajar belajar sama seperti pelajar SMK yang lain, cuma yang membezakan adalah mereka ada subjek tambahan Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Biasanya hanya 1 kelas bagi setiap tingkatan. Berbeza dengan SMKA, semua pelajar perlu mengambil subjek-subjek ini selaras dengan matlamat SMKA berusaha mengamalkan budaya hiduyp Islam dalam mendidik pelajar dengan keperibadian Islam.
Selain subujek agama, SMKA juga menitikberatkan keseimbangan dari segi akademik. mereka mempunyai kelas-kelas intensif bagi meningkatkan prestasi pelajar di sekolah. Hal ini seiring dengan matlamat SMKA bagi membekalkan ilmu yang memenuhi tuntutan duniawi dah ukhrawi, memperkembangkan potensi pelajar dari segi minat, kreativiti, sahsiah dan kepimpinan serta member peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang ilmu dalam dan luar Negara.

5. Peluang Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz al-Quran (KKQ)

Kelebihan utama bagi pelajar SMKA ialah mereka mempunyai peluang untuk memasuki kelas KKQ. Kelas ini amatlah digalakkan kepada pelajar bagi memperkasakan penguasaan kemahiran al-Quran dalam kalangan murid-murid yang mengikuti kelas berkenaan dari aspek kemahiran Taranum, Hafazan, Tajwid,Ulum Al-Quran, Rasm Uthmani dan Qiraat Al-Sab’ie. Kelas Kemahiran Al-Quran ini juga dianggap salah satu kegiatan ko-kurikulum yang penting serta membawa kepada sistem pendidikan Negara yang lebih baik dan menjadikan pendidikan lebih menyeluruh sejurus melahirkan anak-anak bangsa yang cemerlang dalam pelbagai aspek.
Bukan sahaja cemerlang daripada aspek akademik tetapi juga pengetahuan agama yang mandalam sebagaimana hasrat Falsafah Pendidikan Negara sendiri iaitu melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta harmonis dan dapat berjasa kepada agama,bangsa dan Negara. Sejurus itu, objektif perlaksanaan Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran ialah;
  1. Melahirkan pelajar yang dapat membaca dan menghafal surah-surah tertentu daripada Al-Quran secara bertajwid dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian
  2. Melahirkan insan yang memahami dan menghayati perkara-perkara yang berkaitan dengan Al-Quran samaada merangkumi aspek sejarah penulisan, pengumpulan, pembukuan, surah dan asbabun-nuzul
  3. Mengetahui lagu-lagu Al-quran (taranum) dan mempraktikkannya dalam bacaan harian
  4. Mengetahui, membezakan dan membaca wajah-wajah bacaan Qiraat Sabie
  5. Melahirkan individu yang memahami dan mengamalkan al-Quran dengan sebaiknya serta dapat menguasai bahasa arab.
Menarik lain :  LinkedIn Learning: 5 Sebab Ianya Efektif

6. Disediakan Penginapan Asrama

Bagi pelajar yang menuntut di SMKA, mereka disediakan penginapan di asrama. Majoriti pelajar akan tinggal di asrama dan menjalani rutin harian yang ditetapkan oleh sekolah. Ini adalah satu kelebihan bagi para pelajar di SMKA kerana pelbagai aktiviti kerohanian dapat dijalankan dengan lancara apabila semua perlajar tinggal di asrama. Semua pelajar tidak terkecuali untuk mengikuti segala program dan modul yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Program pembangunan dan kecemerlangan sahsiah merupakan di antara program utama yang dapat merealisasikan objektif pembentukan pelajar SMKA yang bersahsiah tinggi, beriman dan bertaqwa. Program ilmu yang dilaksanakan di asrama seperti kuliah Maghrib, tazkirah dan majlis bacaan kitab dapat dilaksanakan secara

mingguan atau bulanan di asrama dengan lancar.

smka
Harap perkongsian ini dapat membantu ibu bapa dan calon-calon UPSR dalam membuat perbandingan dan membuat pilihan terbaik sesuai dengan keperluan pelajar. Antara syarat kelayakan ke Tingkatan 1 SMKA ialah calon UPSR hendaklah calon dari sekolah kerajaan (Sekolah Kebangsaan/Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan). Bagi calon UPSR sekolah swasta, boleh mohon ke sekolah menengah Majlis Agama Islam Negeri. Jika pelajar berhajat untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah kebangsaan, pastikan anda membuat persiapan yang lengkap kerana kebiasaannya temuduga akan dijalankan untuk saringan pelajar ekoran permohonan yang tinggi. Selamat berjaya!
Buatlah pilihan yang terbaik selaras dengan falsafah “Usaha yang terancang, terkawal dan berterusan berasaskan panduan ilmu, iman dan amal soleh serta budaya Islam dan suasana pembelajaran yang seimbang kearah melahirkan pelajar yang berilmu pengetahuan, seimbang, cemerlang, berakhlak mulia, bertakwa dan bertanggungjawab untuk mengamalkan cara hidup islam serta mampu memberi sumbangan yang bermanafaat kepada agama, diri, ummah dan Negara.”

 

Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Mr.Reading
Mr.Reading
2 years ago

Tepat sekali