Ad Blocker Detected
Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.
Pemansuhan UPSR – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) setakat ini belum memberi sebarang kata putus mengenai pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Pada 5 Disember yang lalu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya menyatakan bahawa KPM sedang dalam peringkat akhir penilaian untuk memutuskan pemansuhan UPSR.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan sama ada UPSR bakal dimansuhkan serta digantikan dengan kaedah penilaian yang baru bakal dimaklumkan tidak lama lagi. Pada bulan April yang lalu, pihak Kementerian telah memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan UPSR bagi sesi 2020 berikutan dengan penularan wabak penyakit Covid-19. Berikut merupakan 3 kebaikan pemansuhan UPSR.
Pemansuhan UPSR Serta kebaikannya
Jika di teliti pemansuhan UPSR ini, ada keburukan dan kebaikannya tersendiri. Kebaikan adalah berdasarkan penilaian dan skop pandangan setiap individu.
- Mengurangkan Tekanan di Kalangan Pelajar, Ibu Bapa dan guru.
Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) melihat kepada keperluan dan kebaikan pemansuhan UPSR. Setiausaha Agung pertubuhan tersebut, Harry Tan Huat Hock, menyatakan bahawa sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan hanya menyebabkan tekanan di kalangan pelajar seperti yang dinyatakan dalam artikel berikutĀ NUTP Mahu Kerajaan Mansuhkan UPSR. Bukan sekadar pelajar, malah guru juga tertekan kerana terpaksa mengejar silibus selain perlu mengadakan kelas tambahan dan seminar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang.
Masyarakat kita secara umum mempunyai tanggapan bahawa kejayaan seseorang itu diukur berdasarkan kecemerlangan dalam peperiksaan. Malah tindakan media yang memberikan liputan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang mengukuhkan lagi tanggapan tersebut. Persepsi ini seterusnya memberikan tekanan kepada ibu bapa yang mahukan anak yang cemerlang menyebabkan mereka menghantar anak-anak ke pusat-pusat tuisyen di luar sekolah.
Persepsi ini seterusnya mempengaruhi kitaran hidup pelajar tersebut. Walaupun hanya berusia 12 tahun, namun jadual mereka padat dengan aktiviti yang berteraskan akademik semata. Selepas tamat sesi persekolahan, mereka perlu menghadiri kelas tambahan atau seminar yang diadakan oleh pihak sekolah. Pada sebelah malam, mereka juga perlu menghadiri kelas tuisyen. Kitaran ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan perkara selain daripada akademik. Perkara ini jika dibiarkan akan membantutkan potensi diri yang dimiliki.
2. ‘Kemenjadian’ Murid Lebih Terjamin
Jika UPSR dimansuhkan, waktu yang sebelum ini digunakan bagi menghadiri kelas tambahan dan tuisyen di hujung minggu dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan potensi diri. Pelaksanaan UPSR hanya menyebabkan pelajar terpaksa melupakan minat mereka yang mungkin tidak berkaitan dengan UPSR seperti bersukan, bermain piano dan sebagainya.
Seringkali pelajar yang sedang menduduki peperiksaan besar seperti UPSR disuruh untuk ber’puasa’ oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa daripada terlibat secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum mahupun perkara yang diminati atas alasan jika mereka sibuk dengan aktiviti bukan akademik, maka mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk mengulang kaji pelajaran dan menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. Tanggapan seperti ini adalah tidak tepat. Pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum supaya perkembangan mereka seimbang daripada aspek fizikal, intelek dan emosi.
Selain itu, melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum juga sama penting kerana melalui penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum dapat membantu pelajar untuk mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, kerjasama, kawalan emosi yang berguna untuk kecemerlangan masa hadapan mereka. Jika UPSR dimansuhkan, maka keutamaan dapat diberikan untuk mengembangkan minat pelajar.
3. Pendidikan Holistik
Isu pemansuhan UPSR bukanlah satu isu yang baru. Isu ini sudah mula diperdebatkan sejak daripada tahun 2010. Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyidin pernah mengusulkan untuk memansuhkan UPSR. Beliau berpendapat bahawa sistem pendidikan yang terlalu memberi fokus kepada kecemerlangan dalam peperiksaan menyebabkan penggabaian kepada pembangunan dan perkembangan manusiawi.
Sistem pendidikan pada hari ini yang berorientasikan peperiksaan dan kecemerlangan akademik sebenarnya hanya mengukur dua jenis kecerdasan iaitu kecerdasan linguistik dan matematikal. Ini bermakna sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan adalah satu sistem yang tidak holistik dan tidak memenuhi keperluan pelajar. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan yang berlainan dan memerlukan sistem yang juga berbeza untuk mengukur tahap keupayaan mereka.

9 Kecerdasan Yang Diusulkan oleh Howard Garner
Kaedah penilaian berdasarkan gred bukanlah satu kaedah penilaian yang komprehensif yang dapat mengukur kemampuan pelajar. Adalah tidak adil jika kita mengekalkan sistem peperiksaan kerana ia akan menyebabkan pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa, pemahaman dan fakta tercicir serta dianggap sebagai gagal dan tidak pandai. Sedangkan mungkin kecerdasan mereka bukanlah di situ.
Reformasi dalam sistem pendidikan ini menuntut pihak kementerian pendidikan, pihak sekolah dan ibu bapa untuk menjadi lebih kreatif dalam merangka satu sistem pembelajaran yang lebih bersesuaian mengikut kecerdasan dan kecenderungan para pelajar.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mengubah cara penilaian pelajar dan mencipta satu sistem pendidikan yang lebih memberi tumpuan kepada kemenjadian insani. Matlamat kita dalam mendidik juga perlu berubah daripada menjadikan kecemerlangan dalam peperiksaan sebagai kayu ukur kejayaan individu kepada menjadikan kecemerlangan daripada segi peribadi dan akhlak serta sumbangan kepada manusia sebagai kayu ukur kejayaan yang baharu.

KPM sedang dalam akhir kajian untuk memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)