Ad Blocker Detected
Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah rendah dan sekolah menengah yang beroperasi di bawah KPM.
Tarikh Pembukaan Sekolah Sesi 2021- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu sidang media yang bersiaran langsung di Astro Awani pada Jumaat lepas mengumumkan tarikh pembukaan sekolah bagi sesi 2021. Melalui sidang media tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan bahawa sekolah akan kembali beroperasi pada 1 Mac 2021.
Pembukaan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah
Menurut beliau, sekolah rendah akan kembali beroperasi dimulai dengan kemasukan pelajar pra-sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 bermula 1 Mac ini. Diikuti kemasukan pelajar Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 pada 8 Mac 2021. Beliau turut menjelaskan bahawa pelajar pra-sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 akan masuk lebih awal berbanding pelajar Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 bagi membiasakan mereka dengan Prosedur Operasi Standard yang bakal dilaksanakan di sekolah terutamanya pelajar yang baru sahaja masuk ke alam persekolahan.
“Bagi membolehkan anak-anak ini, membiasakan diri dengan SOP di sekolah khususnya anak-anak yang baru masuk ke Tahun 1 sebagai contoh, maka KPM telah membuat keputusan supaya murid pra-sekolah, murid Tahun 1 dan murid Tahun 2 akan ke sekolah terlebih dahulu. Ini akan memberi ruang kepada guru-guru untuk membiasakan anak-anak ini dengan SOP baru di sekolah dan juga untuk guru-guru bersama-sama dengan ibu bapa mencari kaedah terbaik berkaitan dengan penyuraian anak-anak pada akhir persekolahan”.
Melalui sidang media tersebut juga, beliau menyatakan bahawa bagi pelajar sekolah menengah, kemasukan ke sekolah akan bermula seawal 4 April 2021 bagi pelajar yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Manakala bagi pelajar yang tinggal di negeri selain daripada 4 negeri tersebut, pembukaan sekolah akan bermula pada 5 April 2021.
Beliau menjelaskan kemasukan pelajar sekolah menengah adalah lebih lambat berbanding sekolah rendah untuk memastikan kelancaran perlaksanaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada 22 Februari 2021.
“Kaedah perlaksanaan SPM kali ini amat berbeza berbanding dengan SPM tahun-tahun sebelum ini. SOP untuk peperiksaan SPM adalah amat terperinci dan amat ketat bagi memastikan anak-anak kita yang bakal menduduki SPM bermula pada hari Isnin ini dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan juga selamat.”
Beliau menambah bagi memastikan kelancaran perlaksanaan peperiksaan awam itu, pihak KPM akan menyediakan bilik-bilik tambahan seperti bilik khas (untuk calon yang menunjukkan gejala), bilik isolasi dan juga bilik transit.
Berhubungan dengan itu, maka pelajar sekolah menengah hanya dibenarkan untuk menghadiri sekolah setelah tamat peperiksaan SPM iaitu selepas cuti pertengahan penggal.
Pembukaan Kolej Vokasional, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa
Bagi pelajar Kolej Vokasional dibenarkan untuk menghadiri institusi masing-masing bermula pada 1 Mac 2021. Manakala, bagi sekolah rendah swasta dan sekolah menengah swasta perlu mengikuti tarikh pembukaan sekolah-sekolah di bawah KPM iaitu pada 1 Mac bagi peringkat pra-sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2, pada 8 Mac bagi Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6, pada 4 April dan 5 April bagi sekolah menengah.
Sekolah Antarabangsa dan Institut Pendidikan Swasta (IPS) kategori pusat termasuklah pusat-pusat tuisyen juga boleh kembali beroperasi bermula pada 8 Mac 2021.
Cabaran Utama Pembukaan Sekolah
Beliau turut meluahkan kerisauan mengenai cabaran yang bakal dihadapi saat bermulanya sesi persekolahan iaitu ketika penyuraian murid sewaktu tamatnya sesi persekolahan. Menurut beliau ketika saat inilah akan berlakunya perlanggaran SOP yang ketara di kalangan waris yang ingin menjemput pulang anak-anak.
“Ramai ibu bapa yang menunggu di luar sekolah, kadang-kadang tidak ada penjarakan fizikal dan sebagainya. Oleh yang demikian, KPM telah mengesyorkan kepada pihak sekolah kaedah yang terbaik yang mereka boleh gunakan bagi memastikan penyuraian ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan SOP dapat dipatuhi.”
Beliau turut menyeru ibu bapa, pemimpin masyarakat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk sama-sama berganding bahu dalam memastikan setiap SOP yang digariskan dapat dipatuhi dengan baik sama ada di dalam sekolah mahupun di luar kawasan sekolah.
Bagi maklumat lanjut berkaitan dengan perlaksanaan SOP di semua institut pendidikan Malaysia, anda boleh melayari laman Facebook KPM di pautan berikut Laman Facebook KPM atau laman Facebook Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin di Laman Facebook Dr Radzi Jidin

Rumusan Tarikh Pembukaan Sekolah Bagi Semua Institusi Pendidikan di Bawah KPM